Saturday, January 24, 2009

Jika anda ada 10 minit

Oleh : Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Ruangan Tazkirah, Harakah.


Kesetiaan insan terhadap ALLAH swt diikat dengan sebuah perjanjian dua kalimah syahadah, dengan itu manusia seolah-olah seorang kontraktor yang telah menandatangani perjanjian untuk sesuatu tender bagi melaksanakan suatu projek yang besar. Kesempurnaan projek yang telah dipersetujui bergantung sejauh mana ia memenuhi syarat-syarat dan juga plan yang telah ditetapkan.

Dalam ertikata lain bahawa keimanan seseorang hanya akan diiktiraf oleh ALLAH apabila ia melaksanakan ikrar. Dengan melaksanakan segala peraturan yang ditetapkan di dalam syariat islam. Sekiranya perlaksanaan tidak memenuhi syarat rukun yang digariskan oleh syariat, bererti mereka tidak melaksanakan ikrar sebagaimana kontraktor yang melakukan kerja binaan tanpa merujuk kepada plan dan syarat-syarat yang telah ditetapkan.

Setiap orang mukmin bukan sahaja mereka menghayati kehendak kedua kalmah syahadah yang telah diikrarkan tapi juga mereka sentiasa membaharui ikrar disetiapkali mendirikan solat. Mereka bersumpah setia bahawa segala urusan kehidupan mereka samaada dalam urusan ibdah, siasah, muamalah, nikah kawin dan lain-lainnya. Hatta kepada perkara yang bersangkutan dengan mati, hubungan orang yang hidup dengan orang yang telah mati. Manusia berjanji akan menguruskannya menurut kehendak ALLAH yakni dengan mematuhi syariat ALLAH.

Jesteru itu dalam memperkatakan hal-hal yang berhubung dengan soal kematian iaitu penyelenggaraan dan hubungan dengan penghuni alam berzakh, maka manusia tidak perlu mengambil atau meniru tradisi dan budaya jahiliyyah. Segala kaifiat dan cara menguruskan jenazah telah dijelaskan oleh sunnah Nabi s.a.w.

Adalah sangat malang bagi masyarakat pak turut mereka sering melakukan perkara-perkara yang tidak mempunyai alasan Nas atau Dalil samaada dalil al-Quran atau sunnah. Mereka melakukan perkara yang bercanggah dengan petunjuk Rasulullah, mereka melakukan secara turun temurun, berdasarkan bahawa perkara itu dilakukan oleh ibu bapa dan nenek moyang mereka.


Terdapat orang yang berusaha dan membelanjakan wang yang banyak untuk menunjukkan bukti kasih sayang mereka terhadap ibu bapa mereka yang telah mati atau suami serta isteri yang meninggal dunia, ada diantara mereka mendirikan bangunan atau binaan dari batu mar-mar yang mahal lalu mereka menganggap bahawaitu bukti kasih sayang mereka.

Padahal binaan yang mereka dirikan itu tidak memberi sebarang erti kepada orang yang telah mati, ia bukan sahaja suatu perbuatan sia-sia yang membazir, malah perbuatan itu dianggap oleh islam sebagai perbuatan jahiliyyah.

Panduan

Islam telah menggariskan panduan yang sangat mudah bagi seorang anak, suami atau isteri yang hendak menyatakan rasa kasih sayang terhadap mereka yang telah berada di alam Barzakh itu dengan cara mendoakan mereka semoga ALLAH ampunkan dosanya, dihindarikan dari segala pancaroba dan huru hara di alam kubur. Mudah-mudahan ALLAH s.w.t. kurniakan ke atas ruhnya sepenuh rahmat agar tanah perkuburan itu menjadi tempat istirehat yang aman sebelum mereka dimasukkan ke dalam syrga ALLAH di akhirat kelak.

Pengarang kitab at-Tazkirah iaitu al-Qurtubi dengan jelas mengatakan bahawa diantara amalan jahiliyyah ialah mengadakan suatu himpunan beramai-ramai diperkuburan, di masjid atau di rumah dengan berzikir dan juga lain-lain bacaan, serta mengadakan jamuan makan minum dengan tujuan untuk orang mati, disebut orang sebagai kenduri Arwah. Dengan jelas perbuatan itu tiada Nas yang menjadi rujukannya dan tiada petunjuk sunnah yang menjadi ikutan.

Sesungguhnya ia adalah dari perbuatan jahiliyyah.

Kenyataan ini mungkin agak keras dan pahit boleh jadi suatu penjelasan yang mengejutkan terutama terhadap mereka yang mengamalkan perkara tersebut secara ikut-ikutan dan membuta tuli tanpa mengkaji dari sudut ilmiyah. Tetapi inilah hakikat Islam yang mesti diakui oleh penganutnya yang sedia kembali kepada al-Quran dan Sunnah.

Tidak dapat dinafikan bahawa amalan tersebut telah berakar umbi di dalam masyarakat melayu, sehingga sebahagian dari mereka menganggap bahawa amalan tersebut adalah merupakan amalan agama yang mesti dilakukan setiap kali berlaku kematian.

Elok juga dijelaskan di sini bahawa tidak ada manusia lebih mengasihi dan sayang terhadap orang lain yang mengatasi kasih-sayang Nabi s.a.w. terhadap umatnya. Carilah di dunia ini jika ada manusia yang lebih sayang terhadap orang lain atau terhadap ibu bapa mereka jika dibandingkan dengan kasih sayang Nabi terhadap umatnya. Walaupun Nabi terlalu sayang terhadap umatnya terutama terhadap para sahabatnya yang sentiasa membantu Nabi di dalam suasana damai dan perang namun Nabi tidak pernah melakukan majlis zikir atau tahlil untuk sahabat-sahabatnya r.a yang mati.

Orang yang paling sayang terhadap Nabi s.a.w. adalah para sahabatnya yang sentiasa berada di sisi Nabi siang dan malam, namun pernahkah terdapat para sahabat berhimpun dan berzikir dan bertahlil untuk Nabi s.a.w. ? jika perkara itu tidak dilakukan oleh Nabi dan juga para sahabat maka dari manakah punca amalan itu diambil.


Sejarah menunjukkan bahawa sebelum Islam datang ke tanah melayu, orang-orang melayu telah menganut agama hindu. Jesteru itu terdapat banyak tradisi dan budaya hindu yang masih terdapat dalam amalan orang melayu.

Contohnya apabila orang Islam mengadakan upacara nikah, mereka lakukan menurut islam berdasarkan rukun nikah seperti yang ditetapkan oleh syariat. Tapi selepas itu mereka mengadakan upacara persandingan dengan upacara menepung tawar, menabur beras kunyit dan sebagainya, sedangkan persandingan dan segala tradisi tersebut adalah dari kebudayaan hindu.

Demikianlah samaada disedari atau tidak sebahagian besar orang melayu telah mencampur adukkan Islam dan kebudayaan hindu dalam urusan nikah kahwin adalah menjadi perkara lumrah dalam masyarakat melayu. Maka demikian juga orang melayu telah secara sedar atau tidak telah mengambil tradisi jahiliyyah dalam pengurusan mayat.

Apa yang paling mendukacitakan, mereka menganggap amalan tersebut sebahagian dari amalan Islam, padahal Rasulullah sa.w. tidak pernah menunjukkan contoh seperti itu dalam sunnahnya.


1 comment:

Shariful Fadzli said...

Salam~~~

Uh, memang ssh nak ubah, kang ada ckp sesat dll. ssh betul.tapi kita still nak kena usaha.betul tak?

p/s:eskrim mana yg best kat tetra?tak pernah plak ko belanja aku makan, so xpernah merasa lagik..huhu